Sunday, January 8, 2012

"Kempen Bebaskan Anwar 901" – ‘Kempen Bebaskan Mahasiswa Dari Anwar’

"Kempen Bebaskan Anwar 901" –
‘Kempen Bebaskan Mahasiswa Dari Anwar’
Penulis : MD NOR YUSRI ZAKARIA (Mantan Pemimpian Mahasiswa & Pemimpin NGO ASPIRASI & BELIA 4B)
Saya terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai kempen bebaskan Anwar 901. Pengalaman terlibat dalam kepimpinan mahasiswa secara langsung semasa pangajian di universiti serta kini aktif sebagai pemimpin NGO yang berlatarbelakangkan mahasiswa dan belia melihat isu Anwar umpama ‘api dalam sekam’ membakar dengan perlahan keamanan dan kedaulatan negara.
Terbaru pelbagai tindakan pelampau mahasiswa yang Pro Anwar telah menjatuhkan imej ketinggian keintelektualan dan ‘towering personality’ mahasiswa. Mahasiswa bertindak dengan emosi, menjatuhkan pemimpin, mencabar perundangan, hilang kesopanan dan kesusilaan. Isu penurunan bendera gambar Perdana Menteri di PWTC dan Demonstrasi di luar pagar UPSI dilihat antara gerak atur Anwar untuk mencengkam dan menutup minda kesarjanaan mahasiswa. Saya sayangkan mahasiswa Malaysia.Saya tidak sanggup mereka dirosakkan.
Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik khadam kepada Rasulullah SAW, bersabda Nabi SAW:
Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia menyintai dirinya sendiri.

Membebaskan Anwar dari mencengkam dan mempergunakan mahasiswa adalah usaha wajib.
Anwar bukan contoh pemimpin terbaik
Mahasiswa tidak boleh berguru dengan Anwar. Anwar bukanlah guru terbaik. Anwar kini mempersoalkan AUKU yang kononnya mengekang mahasiswa. Mahasiswa menjadi mandom (lembap, tidak cergas, bodoh). Sedarkah kita Anwar juga pernah menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986-1991, bertanggungjawab kepada universiti. Adakah beliau hapuskan AUKU, jawapannya tidak. Kenapa sekarang baru nak pinda. Tindakan beliau ibarat ‘ketam mengajar anaknya berjalan’. Berapakah tinggi pencapaian Anwar dalam akademik jika itu nilai untuk dicontohi mahasiswa. Anwar mempunyai banyak kes-kes berkaitan peribadi yang boleh mencabar keterampilan beliau untuk digelar pemimpin anugerah tuhan.
Universiti Medan Ilmu
Saya melihat universiti merupakan medan ilmu, justeru itu perbincangan ilmu haruslah dijalankan secara ilmiah bukan atas dasar sentimen politik. Mahasiswa berhak untuk bersuara malahan untuk mengeluarkan pandangan juga tiada sekatan. Tindakan sebahagian pelampau mahasiswa seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) yang kononnya mewakili mahasiswa dilihat tidak relevan. SMM dan BEBAS bukanlah persatuan berdaftar, keahlian dan perlembagaan mereka caca merba. Mengapa tidak persatuan dan kelab yang berdaftar di universiti atau Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) memimpin untuk memperjuangkan isu-isu ini. Ini kerana bagi saya, mereka adalah kelompok kecil yang tidak tahu mentadbir persatuan, pemerintahan KUKU BESI sama seperti ‘Pakatan Rakyat’ yang kononnya hendak memimpin negara tetapi pentadbiran dalaman sendiri kucar kacir, parti PR sendiri tidak berdaftar.
Anwar – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat yang Melantik Dirinya Sendiri
Jawatan Anwar dalam PKR bukanlah pilihan mutlak ahli. Beliau mewujudkan jawatan agar dirinya kebal dan tidak boleh dicabar. Konsep kuku besi beliau telah menolak demokrasi dalam parti. Kini Anwar sibuk menghasut mahasiswa untuk diberikan kebebasan bersuara & mewujudkan demokrasi yang adil. Di manakah keadilan dalam PKR. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat (PR) sebagai parti yang tidak berdaftar. Saya mencabar Pakatan Rakyat (PR) bertanding atas tiket bersama dalam satu parti seperti Barisan Nasional dalam PRU ke 13. Daftarlah PR sebagai parti, rakyat mahukan siapa bakal Perdana Menteri Malaysia nanti jika benar mahu BN tumbang (itu pun kalau ada peluang menang) rakyat juga mahukan bagaimana DAP, PKR dan PAS boleh menyatukan matlamat peribadi masing-masing. Inikah corak kepimpinan yang mahasiswa mahukan untuk negara mereka.
Anwar Mencabar Demokrasi
Tindakan PR untuk berdemo ‘ bebas anwar 901’ dilihat mencabar sistem demokrasi negara. Mereka mempertikaikan keputusan yang bakal dibuat oleh mahkamah. Perbicaraan yang memakan masa 3 tahun dan banyak kali penangguhan dibuat oleh Anwar dilihat masih tidak menyebelahi Anwar. Anwar menggerakkan mahasiswa sebagai ‘3rd force’ setelah usahanya menyakinkan dan menggerakkan parti politik dilihat kurang berkesan. Kerjasama dan Doktrin Anwar dengan pimpinan SMM dan BEBAS dilihat boleh mengalih isu dan mempengaruhi mahasiswa ternyata gagal. Demonstrasi di luar pagar UPSI pagi 1 januari 2012 ternyata menunjukkan kegagalan anwar dan puak pelampau mahasiswa kerana mereka terpaksa mengimport mahasiswa dari universiti lain untuk meramaikan penyertaan dan skrip lama seperti berbaring dijalanan, provokasi kepada Polis dan lakonan mantap di hospital. Usaha meraka gagal dan dilihat mencabar demokrasi mahasiswa dan negara.
Kepada Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat bertaubatlah segera, pintu taubat ,masih terbuka. Harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama, usahlah Anwar dan Pakatan Rakyat menjadi sejarah kepada kejatuhan negara.
Kepada mahasiswa berfikirlah dengan hati dan fikiran, usah bertindak ikut emosi. Tonjolkanlah kesarjanaan anda, kerana kuasa rakyat yang meletakkan anda sebagai mahasiswa.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda :
‘Perkataan yang baik itu sedekah’

"Kempen Bebaskan Anwar 901" – ‘Kempen Bebaskan Mahasiswa Dari Anwar’

AMAN KAMPUS, PEACE CAMPUS,
MD NOR YUSRI BIN ZAKARIA
Mantan Pimpinan Mahasiswa
Pemimpin NGO – ASPIRASI & BELIA 4B